Sunday, 11 September 2016

Industri Pelancongan di Malaysia

     

Definisi pelancongan


Pelancongan dan melancong membawa maksud yang berbeza. Menurut kamus dewan, pelancongan berasal daripada perkataan lancong atau melancong yang membawa maksud melawat sambil melihat-lihat (bersenang-senang). Dalam bahasa Inggeris Pelancongan diertikan sebagai tourism manakala melancong pula diertikan sebagai travel atau journey. 
Disamping itu, pelancongan juga turut didefinisikan sebagia satu kegiatan multidimensi dan pelbagai yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan dan aktiviti ekonomi. Pelancongan juga bukanlah bertujuan untuk keseronokan semata-mata atau berhibur, malah ia juga merangkumi pelancongan perniagaan, pelancongan kesihatan, pelancongan sukan dan lain-lain.
Manakala Fathi Yakan pula membahagikan pelancongan kepada dua iaitu taat yang berlandaskan syariah islam dan pelancongan maksiat iaitu yang berlawanan dengan syariat Allah s.w.t. Hunziker mendifinisikan pelancongan sebagai satu fenomena yang mempunyai hubung kait dengan perjalanan seseorang yang tidak kekal dan tidak terlibat dengan aktiviti atau kegiatan yang produktif.
Dalam kata lain, Pertubuhan Pelancongan Dunia atau World Tourism Organosation (WTO) mengertikan pelancongan sebagai orang yang tinggal di tempat-tempat yang mana diluar kebiasaan mereka untuk bercuti dengan tidak melebihi tempoh satu tahun. Islamic Tourism atau Pusat Pelancongan Islam di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia mendefinisikan pelancongan Islam sebagai satu aktiviti atau industri yang berkaitan dengan pengembaraan untuk melawat tempat-tempat yang mempunyai sejarah Islam, mengenali budaya serta warisan Islam, dan juga untuk memahami dan menyelami cara hidup masyarakat Islam serta memahami budaya dan menyelami cara hidup islam.
Dapat kita simpulkan bahawa pelancong merupakan seseorang yang meninggalkan rumah kediamannya untuk pergi ke sesuatu tempat dengan tujuan bercuti.  Manakala pelancongan pula disimpulkan sebagai satu industri yang memberi kemudahan dan perkhidmatan kepada orang ramai untuk pergi melancong.

Apa itu Industri Pelancongan?

Di Malaysia industri pelancongan mula muncul pada akhir tahun 1960, ianya tidak dianggap sebagai aktiviti ekonomi yang utama sehingga ke tahun 1970 kerana pada masa tersebut sumbangan komoditi utama seperti getah dan bijih timah adalah jauh lebih penting. Di peringkat awal industri ini diperkenalkan kerajaan Malaysia hanya membangunkan industri ini untuk memenuhi beberapa objektif seperti peningkatan dalam pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan menggalakkan hasil kerajaan.
Kini situasi telah jauh berbeza apabila Malaysia telah di iktiraf pada peringkat global sebagai antara destinasi pelancongan utama dan berada di tempat ke-10 teratas dari segi ketibaan pelancong dan antara 15 teratas dari segi penerimaan global. Pelancongan telah menjadi bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri berkaitan yang mana berperanan dalam pembangunan Malaysia.
Pelancongan juga terbahagi kepada beberapa jenis yang mana merujuk kepada pelancongan libur dan pelancongan perniagaan, dan ia merangkumi subsektor yang berikut :

  1. Penginapan
  2. Membeli-belah
  3. Produk pelancongan (ekopelancongan, pelancongan kapal persiaran dan aktiviti lain yang berkaitan seperti spa dan kesejahteraan).
  4. Makanan dan minuman serta pengankutan dalam negeri

    Laksa utara yang popular di utara tanah air kita.


                                     



 Keindahan alam semulajadi yang terdapat di negara ini adalah tarikan utama pelancong asing
















Sememannya menjadi suatu kelebihan buat Malaysia kerana mempunyai kedudukan permulaan yang kukuh untuk melonjakkan dirinya menjadi destinasi pelancongan yang utama. Industri pelancongan. Malaysia sememangnya telah membesar dan tetap berkembang untuk jangka masa tempoh 10 tahun yang lepas serta mempunyai kedudukan daya saing global yang kukuh. Seterusnya asas yang kukuh ini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi negara.

                          Pembangunan industri pelancongan di Malaysia

Saban tahun, industri pelancongan di Malaysia kini telah pun mencapai tahap yang dapat kita banggakan. Kita sememangnya beruntung kerana negara kita Malaysia kaya dengan alam semulajadi dan struktur muka bumi yang sesuai untuk aktiviti pelancongan. Ia adalah satu anugerah yang patut kita syukuri. Faedahnya bukan sahaja kepada negara, tetapi kepada kita sendiri. Antaranya adalah menjadi penyumbang kepada imbangan pembayaran negara, pembangunan kawasan bukan perindustrian, mewujudkan peluang pekerjaan, disamping peningkatan kepada keseluruhan ekonomi menerusi impak pengganda dan pembangunan sosial, sesuai dengan misi untuk membasmi kemiskinan penduduk di negara ini. Kerajaan telah pun menyediakan pelbagai kemudahan untuk mempertingkatkan prestasi industri pelancongan Negara.
Pendorong utama di dalam sektor perkhidmatan adalah industri pelancongan. Industri ini di kenal pasti telah mengambil peranan yang lebih besar dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (2014), Negara  kita telah menerima 25.03 juta kedatangan pelancong  dari seluruh dunia dan mendapat RM65.44 billion pendapatan pada tahun 2013. Sehingga pada bulan Mei 2014, kedatangan pelancong ke Malaysia telah mencapai peningkatan sebanyak 10.1 % peratus dimana seramai 11.53 juta pelancong telah dating ke Malaysia. Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu Pelancongan Dunia (UNWTO) telah meletakkan Malaysia di kedudukan negara yang kesebelas antara negara yang paling kerap dilawati didunia pada tahun 2013. Lonely Planet telah memilih Malaysia sebagai salah satu daripada 10 destinasi yang perlu dilawati dalam tahun 2014 (MOTAC,2014)

Rancangan pembanguan sektor pelancongan

Pembangunan pelancongan di negara ini telah berkembang dengan ketara, menyediakan bukan sahaja pertukaran asing, pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan, tetapi juga peluang untuk penyertaan masyarakat tempatan dalam pemuliharaan biodiversiti, pertumbuhan bandar, baik pulih infrastruktur dan perancangan, pembangunan luar bandar, pemulihan alam sekitar, perlindungan pantai dan pemeliharaan budaya warisan. Industri pelancongan merupakan segmen penting dalam ekonomi Malaysia dan sebahagian besarnya dikuasai oleh perusahaan pelancongan kecil dan sederhana. Terdapat beberapa definisi yang telah dikemukan oleh penyelidik terdahulu mengenai perusahaan kecil dan sederhana ini. Beberapa penyelidik menerima pakai kriteria kuantitatif, terutamanya bilangan pekerja, manakala yang lain lebih suka mendefinisikan melalui pendekatan kualitatif (Morrison dan Thomas, 1999). Menurut Nolan (2002), beliau mentakrifkan bahawa perusahaan kecil pelancongan adalah perusahaan yang menggunakan kurang daripada 50 orang pekerja. Manakala, Perusahaan kecil dan sederhana dalam industri hotel ditakrifkan dengan menggunakan jumlah bilangan bilik dan bilangan pekerja. Manakala di Malaysia, chalet kecil dan sederhana boleh ditakrifkan sebagai hotel yang bertaraf tiga bintang ke bawah dan mereka yang mempunyai klasifikasi yang lebih rendah termasuk chalet dan resort dengan 50 jumlah bilik atau kurang (Jaafar, 2011). Malaysia telah di pilih menjadi tuan rumah untuk seminar Conference Of The Pacific Areas Travel Association (PATA), pada tahun 1972. Seminar berkenaan diadakan adalah bertujuan bagi memberi kesedaran terhadap kepentingan dan peluang ekonomi yang terdapat dalam sektor pelancongan ini. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun menubuhkan Tourist Development Corporation (TDC)      pada tahun 1972, yang mana ianya bertujuan untuk melaksanakan dasar pembangunan pelancongan pertama Negara yang lebih dikenali sebagai Pelan Pembangunan Pelancongan 1975.

Program Tahun Melawat Malaysia

Pada tahun 1990, kerajaan telah mengisytiharkan Program Tahun Melawat Malaysia (TMM 90) buat pertama kalinya dilancarkan dengan tema “Mengagumkan Malaysia, Tahun Perayaan”. Dan telah berjaya meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke Malaysia sebanyak 7.44 juta pelancong.
Malaysia berada pada kedudukan sebagai destinasi pelancongan Islam utama dalam Indeks Travel Muslim Global diedarkan oleh Crescent Rating pada Mac 2015. Dengan pasaran pelancongan Islam dinilai sebagai bernilai $ 145.000.000.000 pada tahun 2014 , dan bakal mengembangkan lebih banyak pilihan destinasi pelancongan untuk menarik pengembara Muslim, sebagai contoh, makanan halal, tempat rehat berasingan untuk lelaki dan wanita, disamping persekitaran yang selamat dan mesra membuat para pelancong merasa lebih selesa.






"Proboscis monkey" adalah maskot tahun melawat Malaysia pada tahun 2014.


Malaysia melihat kepada kepentingan “backpackers”





Istilah “backpackers” telah menjadi istilah biasa dalam kesusasteraan akedemik sejak 1990-an. Dimana ianya adalah sejenis perjalanan yang berbeza berbanding daripada pelancong lain. Uriely et al (2002) mempersoalkan bahawa backpacking adalah sebagai kategori pelancongan yang berbeza. Dan ia harus dianggap sebagai ‘bentuk’ dan bukannya ‘jenis’ pelancongan. Antara sifat bentuk yang berkaitan dalam kategori pelancongan backpacker termasuk tempoh masa di jalan raya (biasanya enam bulan atau lebih), dan mood perjalanan (bajet rendah). O’Reilly dari University of Surrey di UK menyatakan bahawa orientasi jadual perjalanan juga merupakan ciri-ciri utama yang cenderung untuk perjalanan tanpa jadual yang lengkap, dan dengan keterbukaan untuk menukar pelan perjalanan. O’Reilly (2005) menyatakan bahawa backpacker suka menganggap diri mereka sebagai pengembara (dengan istilah kebebasan dan penerokaan) daripada pelancong. 
Dengan populariti yang semakin meningkat bukan hanya dalam kalangan pelajar antara sekolah dan universiti, tetapi kini  orang dewasa  berusia dalam lingkungan dua puluhan atau tiga puluhan mereka meninggalkan pekerjaan selama setahun untuk pergi melancong, kemudian pelancongan backpacker telah menjadi perniagaan yang semakin besar. Kini sesiapa sahaja boleh pergi melancong bukan hanya golongan dewasa yang berkerjaya, malahan pelajar juga boleh pergi melancong. Pada hari ini banyak negara luar menyediakan asrama pengembara, ianya semakin berkembang secara pesat di seluruh dunia “bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan”.  Malaysia telah menyedari kepentingan pelancong bebas ini, Sebagai tanda pengiktirafan, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah untuk membiayai penyelidik dari University of Kent di U.K untuk melihat sumbangan backpackers kepada ekonomi.
Bagi merealisasikan hasrat kerajaan ini, kerajaan telah bersetuju untuk membiayai kos penyelidikan kepentingan dirantau Asia Pasifik, yang dijalankan oleh Dr Mark Hampton dari University of Kent di Medway bersama Profesor Amran Hamzah daripada Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru. Daripada hasil penyelidikan, Dr Hampton berkata industri back packer mempunyai peluang untuk berkembang pesat dan mempengaruhi imej industri pelancongan Malaysia, walaupun ramai orang berpandangan backpackers dengan pandangan imej yang buruk kerana melancong bajet yang rendah. Dr Hampton mendapati bahawa pelancong backpackers adalah sangat penting untuk ekonomi negara, kerana mereka adalah lebih cenderung untuk tinggal lebih lama jika dibandingkan dengan pelancong purata dan majority daripada wang yang mereka belanjakan dan menginap dalam ekonomi tempatan, sebagai contoh menyumbang kepada perkembangan industri homestay di desa. Secara tidak langsung, mereka akan makan di restoran tempatan, menaiki pengangkutan awam tempatan dan menginap di tempat penginapan milik tempatan. Dengan ini, mereka boleh menjadi lebih berharga daripada pelancong tradisional yang mana mereka sering menginap di hotel milik asing dan memakan makanan minuman yang di import.

      Sumbangan industri pelancongan terhadap ekonomi Negara

Pembangunan pelancongan di Negara ini telah berkembang dengan ketara, menyediakan bukan sahaja pertukaran asing, malahan juga pertumbuhan ekonomi terhadap negara ini. Impak daripada kepesatan dalam sektor pelancongan telah dilihat semakin ketara dan usaha bagi mengekalkan seterusnya memajukan sektor ini harus diteruskan dan diperhebat lagi bagi menjamin penjanaan ekonomi pada masa akan datang. Dimana ia adalah pelan jangka masa panjang ekonomi negara. Jika kita imbau kembali beberapa peristiwa malang telah berlaku pada tahun 2014 seterusnya memberi kesan kepada industri penerbangan Malaysia, sektor pelancongan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Dengan ketibaan pelancong meningkat sebanyak 6.7 peratus daripada 25.72 juta kepada 27.4 juta dan perolehan pelancongan sebanyak RM 72 bilion berbanding dengan RM 65.4 bilion pada tahun 2013.

Pulangan tukaran mata wang

Hasil daripada sistem pertukaran mata wang asing telah memberikan pulangan keuntungan yang tinggi terhadap ekonomi Negara. Hasilnya, kerajaan semakin terdorong untuk menarik lebih ramai lagi kemasukan pelancong ke Malaysia. Langkah kerajaan yang menjayakan program Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990 telah meningkatkan hasil pendapatan negara melalui pertukaran matawang asing sebanyak 56% dengan hasil bernilai RM 4.5 bilion.

Penyediaan peluang pekerjaan

Berdasarkan Rancangan Malaysia Kesepuluh, kerajaan telah mensasarkan Malaysia menjadi 10 negara teratas dari segi perolehan pendapatan dari sektor pelancongan global di samping menjana 2 juta pekerjaan kepada rakyat Malaysia menjelang tahun 2015. Selain itu, industri pelancongan telah membuka ruang pekerjaan secara tidak langsung kepada penduduk tempatan seperti perusahaan restoran, peruncitan, penyediaan perkhidmatan pengangkutan dan penyediaan penginapan. Guna tenaga yang terlibat secara tidak langsung dalam industri perhotelan juga dilihat berpotensi tinggi bagi mewujudkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan. Agensi pelancongan juga semakin bertambah dari semasa ke semasa hasil daripada permintaan pelancong untuk masuk ke negara ini yang semakin meningkat. Secara tidak langsung menjadi penyebab kepada kepesatan kepada pembangunan syarikat-syarikat bas persiaran, teksi, dan kereta sewa.

Mempromosikan produk hasil tempatan

Negara kita sememangnya kaya dengan hasil semulajadi, dengan ini secara tidak langsung akan membantu peniaga-peniaga kecil untuk menjual produk mereka seperti kraf tangan dan sebagainya. 




            Halangan dan cabaran industri pelancongan

Salah satu sumber pendapatan terpenting negara adalah industri pelancongan. Ini adalah penyebab utama mengapa tempat pelancongan di negara ini dibuka secara meluas dan berkembang dengan pesat sekali bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Berbagai usaha dan agensi telah di gerakkan oleh pihak kerajaan bagi memastikan sektor pelancongan dapat berkembang dengan baik seiring dengan pembangunan negara yang semakin ke hadapan. Jika di teliti secara mendalam, masih terdapat banyak cabaran dan halangan yang bakal dihadapi oleh sektor pelancongan di negara kita pada masa depan. Pastinya kerajaan harus mengambil langkah progresif bagi menangani masalah ini. Berikut merupakan beberapa cabaran yang di kenal pasti di hadapi oleh negara ini :

Persaingan negara luar

Persaingan antara negara luar adalah cabaran utama bagi sektor ini. Bukan hanya negara ini bahkan hal ini juga di hadapi oleh negara-negara luar sendiri. Setiap negara pastinya mengetahui kepentingan sektor ini terhadap pertumbuhan ekonomi negara mereka. Banyak negara luar telah mempromosikan negara mereka bagi menarik kedatangan pelancong ke negara mereka. Apa yang menjadi taruhan utama di setiap negara adalah faktor keindahan alam dan keistimewaan semulajadi yang dimiliki oleh negara mereka. Negara kita haruslah membuat persediaan bagi memantapkan lagi sektor pelancongan dan meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong asing ke negara ini.

 Pencemaran alam sekitar

Pencemaran alam adalah isu serius yang sukar untuk di bendung. Termasuklah pencemaran udara, air, tanah dan bunyi. Apa yang semakin membimbangkan adalah pencemaran udara. Seperti yang kita sedia maklum, suhu kepanasan dunia semakin meningkat pada akhir-akhir ini. Banyak kawasan hutan telah terjejas akibat daripada sikap segelintir ahli masyarakat yang melakukan pembakaran terbuka secara haram untuk tujuan pertanian. Sama halnya juga berlaku kepada negara jiran, kesannya bukan sahaja negara kita bahkan negara luar yang berhampiran. Pada masa ini negara kita masih kaya dengan keindahan alam semulajadi. Faktor ini adalah tulang belakang bagi sektor pelancongan negara ini. Kerajaan harus mengambil langkah serius dan berjaga-jaga bagi menangani sebarang kemungkinan yang boleh mengancam keindahan alam negara kita.

 Kestabilan politik negara

Keamanan dan keselamatan adalah faktor yang sangat di ambil kira oleh pelancong sebelum berkunjung ke sesebuah negara. Ini juga jaminan sesebuah negara terhadap pelancong asing bagi memastikan keyakinan mereka untuk berkunjung ke negara ini. Namun begitu, ketidak stabilan politik negara luar juga sedikit sebanyak telah mempengaruhi keamanan negara kita. Sebagai contoh, krisis yang di hadapi negara jiran kita iaitu Thailand. Banyak spekulasi yang bakal di fikirkan oleh pelancong asing ini. Mereka juga risau sekiranya pengganas yang berada di sana akan melarikan diri ke negara ini dan melakukan hal yang sama pula di negara ini. Keyakinan ini harus di kekalkan bagi memastikan pelancong asing ini akan berminat untuk kembali melancong di negara ini malahan mengesyorkan kepada rakan-rakan mereka untuk mengunjungi negara ini.

                     Sistem sokongan membangunkan industri pelancongan

Dewasa ini, pihak kerajaan mahupun swasta telah mengambil langkah dan insentif bagi membantu membangunkan industri pelancongan di Negara ini. Walaupun daripada sudut yang berbeza namun masing-masing telah mendatangkan hasil yang dan impak yang begitu positif terhadap kemajuan sektor pelancongan ini. Antara langkah yang diambil adalah :

Pihak kerajaan

  1. Fungsi Tourism Malaysia.

Melalui fungsi Tourism Malaysia ini, pihak kerajaan mengambil langkah inisiatif iaitu memanfaatkan penggunaan perkakasan interaktif dan media sosial bagi tujuan pemasaran dan promosi industri  pelancongan Malaysia. Memandangkan media sosial telah menjadi platform bagi mendapatkan pandangan dan ulasan bagi pengembara masa kini. Disamping itu, meningkatkan lagi perkhidmatan capaian dalam talian agar menjadi lebih mesra pengguna, interaktif dan mempunyai kandungan yang menarik.

  1. Memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

 Salah satu usaha besar pihak kerajaan adalah melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di Kota London bagi memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan kepada warga Britain. Usaha yang dijalankan mendapat sambutan yang cukup baik dari warganegara berkenaaan. Kementerian Pelancongan juga aktif menyertai pameran pelancongan di serata dunia terutama di pasaran baharu yang diyakini mempunyai pasaran besar seperti Negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Langkah terkini pihak kerajaan adalah menonjolkan pelancongan sukan melalui penganjuran banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Formula One dan Tour De Langkawi. Ini bagi bertujuan agar industri ini tidak terlalu bergantung kepada sumber yang sedia ada.


  1. Tabung dan insentif

Pihak kerajaan juga telah menyediakan kemudahan pembiyaan pinjaman Dana Pelancongan bagi membantu para pengusaha yang ingin membangun atau membangunkan produk-produk pelancongan. Disamping itu, kerajaan telah memberi pengecualian cukai bagi syarikat pengusaha pelancongan yang mengendalikan pakej pelancongan dengan membawa pelancong asing ke Malaysia dengan bilangan yang ditetapkan.

Pihak swasta

  1. Syarikat penerbangan tempatan

Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia sememangnya terkenal dengan konsep tambang murahnya. Secara tidak langsung pelancong juga akan tertarik untuk mendapatkan khidmat tambang murah tersebut untuk datang ke Malaysia. Hal ini juga dapat membantu Malaysia mempromosikan negara dengan meletakkan imej-imej tempat menarik yang terdapat di Malaysia pada badan kapal terbang  untuk menarik pelancong.




  1. Syarikat perhotelan.

Industri perhotelan juga tidak ketinggalan dalam memberi sokongan terhadap industri ini. Untuk menarik perhatian pelancong berbagai tawaran dan promosi telah diadakan bagi menarik kedatangan mereka untuk menginap di hotel tersebut. Secara tidak langsung syarikat tersebut juga telah mempromosikan tempat-tempat yang menarik di negara ini kepada pelancong yang ingin menginap di hotel tersebut. 






                      Langkah-langkah untuk mendorong dan membangun industri pelancongan

  1. Langkah utama yang perlu di ambil oleh pihak kerajaan adalah memperlengkapkan kemudahan dan prasarana pengangkutan awam sehingga menjadi prasarana kelas pertama. Ini kerana keselesaan dan kemudahan adalah faktor utama yang menjadi pilihan pelancong bagi mengunjungi sesebuah tempat yang menarik
  2. Kemudahan penginapan yang selesa juga menjadi penyumbang kepada tahap peningkatan kedatangan pelancong asing di negara ini. Dan menjadi penentu kepada tahap jangka masa yang akan diambil oleh pelancong untuk menginap di hotel tersebut, sekaligus dapat menyumbang penambahan perolehan mata wang asing.
  3. Langkah keselamatan juga perlu diambil kira bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Dalam hal ini, pihak berwajib haruslah mengambil langkah progresif dalam memastikan kawalan keselamatan di negara kita terjamin dan selamat untuk para pelancong. Bukan sahaja memberi jaminan terhadap pelancong asing, malahan ia akan membawa imej yang baik terhadap negara kita. Seterusnya para pelancong tidak akan ragu-ragu untuk berkunjung lagi ke Negara kita.
  4. Bagi pihak yang melaksanakan promosi dan iklan juga haruslah menyediakan maklumat yang lengkap dan mudah difahami mengenai maklumat tempat-tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan pelancong. Dengan kemajuan teknologi pada masa kini, salah satu cara terpantas untuk mempromosikan negara ini adalah melalui capaian halaman pelancongan dalam internet.
  5. Kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta juga memainkan peranan yang penting dalam memajukan sektor ini. Antaranya, pihak kerajaan dan bukan kerajaan bersama-sama berganding bahu melaksanakan aktiviti seperti pameran pelancongan peringkat kebangsaan. Penganjuran sukan bertaraf kebangsaan juga di yakini dapat member impak yang baik terhadap peningkatan kedatangan pelancong asing. Contohnya penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Dengan ini dapatlah kita memperkenalkan negara ini kepada perwakilan dan atlit-atlit daripada serata dunia. Dan membuktikan Malaysia bukan sahaja mampu menganjurkan kejohanan sukan bertaraf dunia, tetapi juga kaya dengan keindahan alam semulajadi.
  6. Masyarakat juga memainkan peranan dalam usaha ini. Sikap ramah dan mesra harus diutamakan oleh anggota masyarakat bagi menarik hati pelancong dan membuat mereka sentiasa dekat dengan masyarakat sekeliling di negara ini. Ketulusan dan sikap sopan-santun adalah kunci utama keyakinan pelancong asing untuk datang di negara ini. Mereka juga pastinya akan merasa sentiasa di alu-alukan dalam negara ini.

               Rumusan

Sektor pelancongan merupakan salah satu industri terpenting di negara ini kerana penyumbang kepada ekonomi negara dan impak yang diberi  adalah sangat baik bagi pertumbuhan ekonomi negara. Kesan yang dapat dilihat bukan sahaja kepada negara, malahan terhadap ekonomi penduduk setempat melalui penyertaan mereka dalam sektor ini. Kerajaan juga telah mengambil berbagai langkah yang serius dalam meningkatkan lagi industri ini.
Tidak dinafikan bahawa Malaysia sememangnya mempunyai banyak kelebihan dalam sektor ini. Antaranya keindahan alam semulajadi yang pelbagai di negara ini. Malaysia juga kaya dengan hasil produk-produk kraf tangan yang mana mempunyai potensi yang besar dalam memajukan ekonomi penduduk negara ini. Disamping itu kedatangan pelancong yang semakin meningkat saban tahun telah membuktikan bahawa kedudukan ekonomi, politik, sosial dan keselamatan Negara ini berada pada tahap yang baik. Diharap industri pelancongan di Malaysia akan terus berkembang dan memberi pulangan yang lumayan terhadap pendapatan negara.