Definisi pelancongan
Pelancongan dan melancong membawa maksud yang berbeza.
Menurut kamus dewan, pelancongan berasal daripada perkataan lancong atau
melancong yang membawa maksud melawat sambil melihat-lihat (bersenang-senang).
Dalam bahasa Inggeris Pelancongan diertikan sebagai tourism manakala melancong
pula diertikan sebagai travel atau journey.
Disamping itu, pelancongan juga turut didefinisikan sebagia
satu kegiatan multidimensi dan pelbagai yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan
dan aktiviti ekonomi. Pelancongan juga bukanlah bertujuan untuk keseronokan
semata-mata atau berhibur, malah ia juga merangkumi pelancongan perniagaan,
pelancongan kesihatan, pelancongan sukan dan lain-lain.
Manakala Fathi Yakan pula membahagikan pelancongan kepada
dua iaitu taat yang berlandaskan syariah islam dan pelancongan maksiat iaitu
yang berlawanan dengan syariat Allah s.w.t. Hunziker mendifinisikan pelancongan
sebagai satu fenomena yang mempunyai hubung kait dengan perjalanan seseorang
yang tidak kekal dan tidak terlibat dengan aktiviti atau kegiatan yang
produktif.
Dalam kata lain, Pertubuhan Pelancongan Dunia atau World
Tourism Organosation (WTO) mengertikan pelancongan sebagai orang yang tinggal
di tempat-tempat yang mana diluar kebiasaan mereka untuk bercuti dengan tidak
melebihi tempoh satu tahun. Islamic Tourism atau Pusat Pelancongan Islam di
bawah Kementerian Pelancongan Malaysia mendefinisikan pelancongan Islam sebagai
satu aktiviti atau industri yang berkaitan dengan pengembaraan untuk melawat
tempat-tempat yang mempunyai sejarah Islam, mengenali budaya serta warisan
Islam, dan juga untuk memahami dan menyelami cara hidup masyarakat Islam serta
memahami budaya dan menyelami cara hidup islam.
Dapat kita simpulkan bahawa pelancong merupakan seseorang
yang meninggalkan rumah kediamannya untuk pergi ke sesuatu tempat dengan tujuan
bercuti. Manakala pelancongan pula
disimpulkan sebagai satu industri yang memberi kemudahan dan perkhidmatan
kepada orang ramai untuk pergi melancong.
Apa itu Industri Pelancongan?
Di Malaysia industri pelancongan mula muncul pada akhir
tahun 1960, ianya tidak dianggap sebagai aktiviti ekonomi yang utama sehingga
ke tahun 1970 kerana pada masa tersebut sumbangan komoditi utama seperti getah
dan bijih timah adalah jauh lebih penting. Di peringkat awal industri ini
diperkenalkan kerajaan Malaysia hanya membangunkan industri ini untuk memenuhi
beberapa objektif seperti peningkatan dalam pertukaran mata wang asing,
meningkatkan peluang pekerjaan dan menggalakkan hasil kerajaan.
Kini situasi telah jauh berbeza apabila Malaysia telah di iktiraf
pada peringkat global sebagai antara destinasi pelancongan utama dan berada di
tempat ke-10 teratas dari segi ketibaan pelancong dan antara 15 teratas dari
segi penerimaan global. Pelancongan telah menjadi bidang pelaburan bijak yang
dapat memacu pertumbuhan industri berkaitan yang mana berperanan dalam
pembangunan Malaysia.
Pelancongan juga terbahagi kepada beberapa jenis yang mana
merujuk kepada pelancongan libur dan pelancongan perniagaan, dan ia merangkumi
subsektor yang berikut :
- Penginapan
- Membeli-belah
- Produk pelancongan (ekopelancongan, pelancongan kapal persiaran dan aktiviti lain yang berkaitan seperti spa dan kesejahteraan).
- Makanan dan minuman serta pengankutan dalam negeri
![]() |
Laksa utara yang popular di utara tanah air kita. |
Sememannya menjadi suatu kelebihan buat Malaysia kerana mempunyai kedudukan permulaan yang kukuh untuk melonjakkan dirinya menjadi destinasi pelancongan yang utama. Industri pelancongan. Malaysia sememangnya telah membesar dan tetap berkembang untuk jangka masa tempoh 10 tahun yang lepas serta mempunyai kedudukan daya saing global yang kukuh. Seterusnya asas yang kukuh ini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi negara.
Pembangunan industri pelancongan di Malaysia
Saban tahun, industri pelancongan di Malaysia kini telah pun mencapai
tahap yang dapat kita banggakan. Kita sememangnya beruntung kerana negara kita
Malaysia kaya dengan alam semulajadi dan struktur muka bumi yang sesuai untuk
aktiviti pelancongan. Ia adalah satu anugerah yang patut kita syukuri.
Faedahnya bukan sahaja kepada negara, tetapi kepada kita sendiri. Antaranya
adalah menjadi penyumbang kepada imbangan pembayaran negara, pembangunan
kawasan bukan perindustrian, mewujudkan peluang pekerjaan, disamping
peningkatan kepada keseluruhan ekonomi menerusi impak pengganda dan pembangunan
sosial, sesuai dengan misi untuk membasmi kemiskinan penduduk di negara ini. Kerajaan telah pun menyediakan pelbagai
kemudahan untuk mempertingkatkan prestasi industri pelancongan Negara.
Pendorong utama di dalam sektor perkhidmatan adalah industri
pelancongan. Industri ini di kenal pasti telah mengambil peranan yang lebih
besar dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Menurut statistik yang
dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (2014),
Negara kita telah menerima 25.03 juta
kedatangan pelancong dari seluruh dunia
dan mendapat RM65.44 billion pendapatan pada tahun 2013. Sehingga pada bulan
Mei 2014, kedatangan pelancong ke Malaysia telah mencapai peningkatan sebanyak
10.1 % peratus dimana seramai 11.53 juta pelancong telah dating ke Malaysia.
Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu Pelancongan Dunia (UNWTO)
telah meletakkan Malaysia di kedudukan negara yang kesebelas antara negara yang
paling kerap dilawati didunia pada tahun 2013. Lonely Planet telah memilih
Malaysia sebagai salah satu daripada 10 destinasi yang perlu dilawati dalam
tahun 2014 (MOTAC,2014)
Rancangan pembanguan sektor pelancongan
Pembangunan pelancongan di negara ini telah berkembang
dengan ketara, menyediakan bukan sahaja pertukaran asing, pertumbuhan ekonomi
dan pekerjaan, tetapi juga peluang untuk penyertaan masyarakat tempatan dalam
pemuliharaan biodiversiti, pertumbuhan bandar, baik pulih infrastruktur dan
perancangan, pembangunan luar bandar, pemulihan alam sekitar, perlindungan
pantai dan pemeliharaan budaya warisan. Industri pelancongan merupakan segmen
penting dalam ekonomi Malaysia dan sebahagian besarnya dikuasai oleh perusahaan
pelancongan kecil dan sederhana. Terdapat beberapa definisi yang telah
dikemukan oleh penyelidik terdahulu mengenai perusahaan kecil dan sederhana
ini. Beberapa penyelidik menerima pakai kriteria kuantitatif, terutamanya
bilangan pekerja, manakala yang lain lebih suka mendefinisikan melalui
pendekatan kualitatif (Morrison dan Thomas, 1999). Menurut Nolan (2002), beliau
mentakrifkan bahawa perusahaan kecil pelancongan adalah perusahaan yang menggunakan
kurang daripada 50 orang pekerja. Manakala, Perusahaan kecil dan sederhana
dalam industri hotel ditakrifkan dengan menggunakan jumlah bilangan bilik dan
bilangan pekerja. Manakala di Malaysia, chalet kecil dan sederhana boleh
ditakrifkan sebagai hotel yang bertaraf tiga bintang ke bawah dan mereka yang
mempunyai klasifikasi yang lebih rendah termasuk chalet dan resort dengan 50
jumlah bilik atau kurang (Jaafar, 2011). Malaysia telah di pilih menjadi tuan
rumah untuk seminar Conference Of The Pacific Areas Travel Association (PATA),
pada tahun 1972. Seminar berkenaan diadakan adalah bertujuan bagi memberi
kesedaran terhadap kepentingan dan peluang ekonomi yang terdapat dalam sektor
pelancongan ini. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun menubuhkan Tourist
Development Corporation (TDC) pada
tahun 1972, yang mana ianya bertujuan untuk melaksanakan dasar pembangunan
pelancongan pertama Negara yang lebih dikenali sebagai Pelan Pembangunan
Pelancongan 1975.
Program Tahun Melawat Malaysia
Pada tahun 1990, kerajaan telah mengisytiharkan Program
Tahun Melawat Malaysia (TMM 90) buat pertama kalinya dilancarkan dengan tema “Mengagumkan
Malaysia, Tahun Perayaan”. Dan telah berjaya meningkatkan lagi kedatangan
pelancong ke Malaysia sebanyak 7.44 juta pelancong.
Malaysia berada
pada kedudukan sebagai destinasi pelancongan Islam utama dalam Indeks Travel
Muslim Global diedarkan oleh Crescent Rating pada Mac 2015. Dengan pasaran
pelancongan Islam dinilai sebagai bernilai $ 145.000.000.000 pada tahun 2014 ,
dan bakal mengembangkan lebih banyak pilihan destinasi pelancongan untuk
menarik pengembara Muslim, sebagai contoh, makanan halal, tempat rehat
berasingan untuk lelaki dan wanita, disamping persekitaran yang selamat dan
mesra membuat para pelancong merasa lebih selesa.
"Proboscis monkey" adalah maskot tahun melawat Malaysia pada tahun 2014.
Malaysia melihat kepada kepentingan “backpackers”
Istilah “backpackers” telah menjadi istilah biasa dalam kesusasteraan
akedemik sejak 1990-an. Dimana ianya adalah sejenis perjalanan yang berbeza
berbanding daripada pelancong lain. Uriely et al (2002) mempersoalkan bahawa
backpacking adalah sebagai kategori pelancongan yang berbeza. Dan ia harus
dianggap sebagai ‘bentuk’ dan bukannya ‘jenis’ pelancongan. Antara sifat bentuk
yang berkaitan dalam kategori pelancongan backpacker termasuk tempoh masa di
jalan raya (biasanya enam bulan atau lebih), dan mood perjalanan (bajet
rendah). O’Reilly dari University of Surrey di UK menyatakan bahawa orientasi
jadual perjalanan juga merupakan ciri-ciri utama yang cenderung untuk
perjalanan tanpa jadual yang lengkap, dan dengan keterbukaan untuk menukar
pelan perjalanan. O’Reilly (2005) menyatakan bahawa backpacker suka menganggap
diri mereka sebagai pengembara (dengan istilah kebebasan dan penerokaan)
daripada pelancong.
Dengan populariti yang semakin meningkat bukan hanya dalam
kalangan pelajar antara sekolah dan universiti, tetapi kini orang dewasa
berusia dalam lingkungan dua puluhan atau tiga puluhan mereka
meninggalkan pekerjaan selama setahun untuk pergi melancong, kemudian
pelancongan backpacker telah menjadi perniagaan yang semakin besar. Kini
sesiapa sahaja boleh pergi melancong bukan hanya golongan dewasa yang
berkerjaya, malahan pelajar juga boleh pergi melancong. Pada hari ini banyak negara
luar menyediakan asrama pengembara, ianya semakin berkembang secara pesat di
seluruh dunia “bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan”. Malaysia telah menyedari kepentingan pelancong
bebas ini, Sebagai tanda pengiktirafan, kerajaan Malaysia telah mengambil
langkah untuk membiayai penyelidik dari University of Kent di U.K untuk melihat
sumbangan backpackers kepada ekonomi.
Bagi merealisasikan hasrat kerajaan ini, kerajaan telah
bersetuju untuk membiayai kos penyelidikan kepentingan dirantau Asia Pasifik,
yang dijalankan oleh Dr Mark Hampton dari University of Kent di Medway bersama
Profesor Amran Hamzah daripada Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru.
Daripada hasil penyelidikan, Dr Hampton berkata industri back packer mempunyai
peluang untuk berkembang pesat dan mempengaruhi imej industri pelancongan
Malaysia, walaupun ramai orang berpandangan backpackers dengan pandangan imej
yang buruk kerana melancong bajet yang rendah. Dr Hampton mendapati bahawa
pelancong backpackers adalah sangat penting untuk ekonomi negara, kerana mereka
adalah lebih cenderung untuk tinggal lebih lama jika dibandingkan dengan
pelancong purata dan majority daripada wang yang mereka belanjakan dan menginap
dalam ekonomi tempatan, sebagai contoh menyumbang kepada perkembangan industri
homestay di desa. Secara tidak langsung, mereka akan makan di restoran
tempatan, menaiki pengangkutan awam tempatan dan menginap di tempat penginapan
milik tempatan. Dengan ini, mereka boleh menjadi lebih berharga daripada
pelancong tradisional yang mana mereka sering menginap di hotel milik asing dan
memakan makanan minuman yang di import.
Sumbangan industri pelancongan terhadap ekonomi Negara
Pembangunan pelancongan di Negara ini telah berkembang
dengan ketara, menyediakan bukan sahaja pertukaran asing, malahan juga
pertumbuhan ekonomi terhadap negara ini. Impak daripada kepesatan dalam sektor
pelancongan telah dilihat semakin ketara dan usaha bagi mengekalkan seterusnya
memajukan sektor ini harus diteruskan dan diperhebat lagi bagi menjamin
penjanaan ekonomi pada masa akan datang. Dimana ia adalah pelan jangka masa
panjang ekonomi negara. Jika kita imbau kembali beberapa peristiwa malang telah
berlaku pada tahun 2014 seterusnya memberi kesan kepada industri penerbangan
Malaysia, sektor pelancongan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan
ekonomi Malaysia. Dengan ketibaan pelancong meningkat sebanyak 6.7 peratus
daripada 25.72 juta kepada 27.4 juta dan perolehan pelancongan sebanyak RM 72
bilion berbanding dengan RM 65.4 bilion pada tahun 2013.
Pulangan tukaran mata wang
Hasil daripada sistem pertukaran mata wang asing telah
memberikan pulangan keuntungan yang tinggi terhadap ekonomi Negara. Hasilnya,
kerajaan semakin terdorong untuk menarik lebih ramai lagi kemasukan pelancong
ke Malaysia. Langkah kerajaan yang menjayakan program Tahun Melawat Malaysia
pada tahun 1990 telah meningkatkan hasil pendapatan negara melalui pertukaran
matawang asing sebanyak 56% dengan hasil bernilai RM 4.5 bilion.
Penyediaan peluang pekerjaan
Berdasarkan Rancangan Malaysia Kesepuluh, kerajaan telah
mensasarkan Malaysia menjadi 10 negara teratas dari segi perolehan pendapatan
dari sektor pelancongan global di samping menjana 2 juta pekerjaan kepada
rakyat Malaysia menjelang tahun 2015. Selain itu, industri pelancongan telah
membuka ruang pekerjaan secara tidak langsung kepada penduduk tempatan seperti
perusahaan restoran, peruncitan, penyediaan perkhidmatan pengangkutan dan
penyediaan penginapan. Guna tenaga yang terlibat secara tidak langsung dalam
industri perhotelan juga dilihat berpotensi tinggi bagi mewujudkan lebih banyak
lagi peluang pekerjaan. Agensi pelancongan juga semakin bertambah dari semasa
ke semasa hasil daripada permintaan pelancong untuk masuk ke negara ini yang
semakin meningkat. Secara tidak langsung menjadi penyebab kepada kepesatan
kepada pembangunan syarikat-syarikat bas persiaran, teksi, dan kereta sewa.
Mempromosikan produk hasil tempatan
Halangan dan cabaran industri pelancongan
Salah satu sumber pendapatan terpenting negara adalah
industri pelancongan. Ini adalah penyebab utama mengapa tempat pelancongan di
negara ini dibuka secara meluas dan berkembang dengan pesat sekali bagaikan
cendawan yang tumbuh selepas hujan. Berbagai usaha dan agensi telah di gerakkan
oleh pihak kerajaan bagi memastikan sektor pelancongan dapat berkembang dengan
baik seiring dengan pembangunan negara yang semakin ke hadapan. Jika di teliti
secara mendalam, masih terdapat banyak cabaran dan halangan yang bakal dihadapi
oleh sektor pelancongan di negara kita pada masa depan. Pastinya kerajaan harus
mengambil langkah progresif bagi menangani masalah ini. Berikut merupakan
beberapa cabaran yang di kenal pasti di hadapi oleh negara ini :
Persaingan negara luar
Persaingan antara negara luar adalah cabaran utama bagi
sektor ini. Bukan hanya negara ini bahkan hal ini juga di hadapi oleh
negara-negara luar sendiri. Setiap negara pastinya mengetahui kepentingan
sektor ini terhadap pertumbuhan ekonomi negara mereka. Banyak negara luar telah
mempromosikan negara mereka bagi menarik kedatangan pelancong ke negara mereka.
Apa yang menjadi taruhan utama di setiap negara adalah faktor keindahan alam
dan keistimewaan semulajadi yang dimiliki oleh negara mereka. Negara kita
haruslah membuat persediaan bagi memantapkan lagi sektor pelancongan dan
meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong asing ke negara ini.
Pencemaran alam sekitar
Pencemaran alam adalah isu serius yang sukar untuk di
bendung. Termasuklah pencemaran udara, air, tanah dan bunyi. Apa yang semakin
membimbangkan adalah pencemaran udara. Seperti yang kita sedia maklum, suhu
kepanasan dunia semakin meningkat pada akhir-akhir ini. Banyak kawasan hutan
telah terjejas akibat daripada sikap segelintir ahli masyarakat yang melakukan
pembakaran terbuka secara haram untuk tujuan pertanian. Sama halnya juga
berlaku kepada negara jiran, kesannya bukan sahaja negara kita bahkan negara
luar yang berhampiran. Pada masa ini negara kita masih kaya dengan keindahan
alam semulajadi. Faktor ini adalah tulang belakang bagi sektor pelancongan
negara ini. Kerajaan harus mengambil langkah serius dan berjaga-jaga bagi
menangani sebarang kemungkinan yang boleh mengancam keindahan alam negara kita.
Kestabilan politik negara
Keamanan dan keselamatan adalah faktor yang sangat di ambil
kira oleh pelancong sebelum berkunjung ke sesebuah negara. Ini juga jaminan
sesebuah negara terhadap pelancong asing bagi memastikan keyakinan mereka untuk
berkunjung ke negara ini. Namun begitu, ketidak stabilan politik negara luar juga
sedikit sebanyak telah mempengaruhi keamanan negara kita. Sebagai contoh,
krisis yang di hadapi negara jiran kita iaitu Thailand. Banyak spekulasi yang
bakal di fikirkan oleh pelancong asing ini. Mereka juga risau sekiranya
pengganas yang berada di sana akan melarikan diri ke negara ini dan melakukan
hal yang sama pula di negara ini. Keyakinan ini harus di kekalkan bagi
memastikan pelancong asing ini akan berminat untuk kembali melancong di negara
ini malahan mengesyorkan kepada rakan-rakan mereka untuk mengunjungi negara
ini.
Sistem sokongan membangunkan industri pelancongan
Dewasa ini, pihak kerajaan mahupun swasta telah mengambil langkah dan
insentif bagi membantu membangunkan industri pelancongan di Negara ini.
Walaupun daripada sudut yang berbeza namun masing-masing telah mendatangkan
hasil yang dan impak yang begitu positif terhadap kemajuan sektor pelancongan
ini. Antara langkah yang diambil adalah :
Pihak kerajaan
- Fungsi Tourism
Malaysia.
Melalui fungsi Tourism Malaysia ini, pihak kerajaan mengambil langkah
inisiatif iaitu memanfaatkan penggunaan perkakasan interaktif dan media sosial
bagi tujuan pemasaran dan promosi industri
pelancongan Malaysia. Memandangkan media sosial telah menjadi platform
bagi mendapatkan pandangan dan ulasan bagi pengembara masa kini. Disamping itu,
meningkatkan lagi perkhidmatan capaian dalam talian agar menjadi lebih mesra
pengguna, interaktif dan mempunyai kandungan yang menarik.
- Memperkenalkan Malaysia di
mata dunia.
Salah satu usaha
besar pihak kerajaan adalah melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan telah menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di Kota London bagi
memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan kepada warga Britain. Usaha yang
dijalankan mendapat sambutan yang cukup baik dari warganegara berkenaaan.
Kementerian Pelancongan juga aktif menyertai pameran pelancongan di serata
dunia terutama di pasaran baharu yang diyakini mempunyai pasaran besar seperti
Negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Langkah terkini pihak kerajaan
adalah menonjolkan pelancongan sukan melalui penganjuran banyak acara sukan
bertaraf antarabangsa seperti Formula One dan Tour De Langkawi. Ini bagi
bertujuan agar industri ini tidak terlalu bergantung kepada sumber yang sedia
ada.
- Tabung dan insentif
Pihak kerajaan juga telah menyediakan kemudahan pembiyaan
pinjaman Dana Pelancongan bagi membantu para pengusaha yang ingin membangun
atau membangunkan produk-produk pelancongan. Disamping itu, kerajaan telah
memberi pengecualian cukai bagi syarikat pengusaha pelancongan yang mengendalikan
pakej pelancongan dengan membawa pelancong asing ke Malaysia dengan bilangan
yang ditetapkan.
Pihak swasta
- Syarikat
penerbangan tempatan
Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia sememangnya terkenal dengan
konsep tambang murahnya. Secara tidak langsung pelancong juga akan tertarik
untuk mendapatkan khidmat tambang murah tersebut untuk datang ke Malaysia. Hal
ini juga dapat membantu Malaysia mempromosikan negara dengan meletakkan
imej-imej tempat menarik yang terdapat di Malaysia pada badan kapal
terbang untuk menarik pelancong.
- Syarikat
perhotelan.
Industri perhotelan juga tidak ketinggalan dalam memberi sokongan
terhadap industri ini. Untuk menarik perhatian pelancong berbagai tawaran dan
promosi telah diadakan bagi menarik kedatangan mereka untuk menginap di hotel
tersebut. Secara tidak langsung syarikat tersebut juga telah mempromosikan
tempat-tempat yang menarik di negara ini kepada pelancong yang ingin menginap
di hotel tersebut.
![]() |
Langkah-langkah untuk mendorong dan membangun industri pelancongan
- Langkah utama
yang perlu di ambil oleh pihak kerajaan adalah memperlengkapkan kemudahan
dan prasarana pengangkutan awam sehingga menjadi prasarana kelas pertama.
Ini kerana keselesaan dan kemudahan adalah faktor utama yang menjadi pilihan
pelancong bagi mengunjungi sesebuah tempat yang menarik
- Kemudahan penginapan yang selesa juga menjadi penyumbang kepada tahap peningkatan kedatangan pelancong asing di negara ini. Dan menjadi penentu kepada tahap jangka masa yang akan diambil oleh pelancong untuk menginap di hotel tersebut, sekaligus dapat menyumbang penambahan perolehan mata wang asing.
- Langkah keselamatan juga perlu diambil kira bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Dalam hal ini, pihak berwajib haruslah mengambil langkah progresif dalam memastikan kawalan keselamatan di negara kita terjamin dan selamat untuk para pelancong. Bukan sahaja memberi jaminan terhadap pelancong asing, malahan ia akan membawa imej yang baik terhadap negara kita. Seterusnya para pelancong tidak akan ragu-ragu untuk berkunjung lagi ke Negara kita.
- Bagi pihak yang melaksanakan promosi dan iklan juga haruslah menyediakan maklumat yang lengkap dan mudah difahami mengenai maklumat tempat-tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan pelancong. Dengan kemajuan teknologi pada masa kini, salah satu cara terpantas untuk mempromosikan negara ini adalah melalui capaian halaman pelancongan dalam internet.
- Kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta juga memainkan peranan yang penting dalam memajukan sektor ini. Antaranya, pihak kerajaan dan bukan kerajaan bersama-sama berganding bahu melaksanakan aktiviti seperti pameran pelancongan peringkat kebangsaan. Penganjuran sukan bertaraf kebangsaan juga di yakini dapat member impak yang baik terhadap peningkatan kedatangan pelancong asing. Contohnya penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Dengan ini dapatlah kita memperkenalkan negara ini kepada perwakilan dan atlit-atlit daripada serata dunia. Dan membuktikan Malaysia bukan sahaja mampu menganjurkan kejohanan sukan bertaraf dunia, tetapi juga kaya dengan keindahan alam semulajadi.
- Masyarakat juga memainkan peranan dalam usaha ini. Sikap ramah dan mesra harus diutamakan oleh anggota masyarakat bagi menarik hati pelancong dan membuat mereka sentiasa dekat dengan masyarakat sekeliling di negara ini. Ketulusan dan sikap sopan-santun adalah kunci utama keyakinan pelancong asing untuk datang di negara ini. Mereka juga pastinya akan merasa sentiasa di alu-alukan dalam negara ini.
Rumusan
Sektor pelancongan merupakan salah satu industri terpenting di negara
ini kerana penyumbang kepada ekonomi negara dan impak yang diberi adalah sangat baik bagi pertumbuhan ekonomi negara.
Kesan yang dapat dilihat bukan sahaja kepada negara, malahan terhadap ekonomi
penduduk setempat melalui penyertaan mereka dalam sektor ini. Kerajaan juga
telah mengambil berbagai langkah yang serius dalam meningkatkan lagi industri
ini.
Tidak dinafikan bahawa Malaysia sememangnya mempunyai banyak kelebihan
dalam sektor ini. Antaranya keindahan alam semulajadi yang pelbagai di negara
ini. Malaysia juga kaya dengan hasil produk-produk kraf tangan yang mana mempunyai
potensi yang besar dalam memajukan ekonomi penduduk negara ini. Disamping itu
kedatangan pelancong yang semakin meningkat saban tahun telah membuktikan
bahawa kedudukan ekonomi, politik, sosial dan keselamatan Negara ini berada
pada tahap yang baik. Diharap industri pelancongan di Malaysia akan terus
berkembang dan memberi pulangan yang lumayan terhadap pendapatan negara.
No comments:
Post a Comment